Wednesday, May 29, 2019

Untuk Apalah Kehidupan

Apalah kehidupan,
kalau sekadar seperti pohon yang gersang,
tiada berbuah,
apatah merimbun menjadi teduhan.

Atau seperti lalang di rumah tinggal,
hanya mengikut angin bertiupan,
tiada memberi faedah,
bahkan tersakiti setiap mata memandang,
menunggu masa dicantas, hilang.

Apalah kehidupan buatku Tuhan,
sekadar meminjam udara, bernafas.
Sehanya merebut nikmat yang bertebaran,
tiada sumbangan.

Lalu untuk apalah kehidupanku, Tuhan.
Sedangkan cacing mengenyangkan burung.
Aku, tiada langsung membawa untung.

Tuhan, tahu apa yang paling menyakitkan?
Bahawasanya aku,
pernah merasa hidup bertujuan,
pernah merasa mnejadi teduhan.
Aku pernah, diperlukan.

Tapi kini, Tuhan,

Saban hari aku bertahan,
semata menantikan jawapan,
untuk apakah kehidupanku,
wahai Tuhan?

Atau mungkin, 
aku telah dilupakan?

Tuhan, untuk apalah kehidupanku ini,
tiada layak meminta lagi.
Ku buka mata hari ini,
sekadar sedar hakikat diri,
aku hamba, yang tak lagi diingati.

Dan aku bersyukur sekadar itu,
biarkan di dunia ini aku terus termangu,
kerana untuk menghadap mati,
aku tak mampu.

No comments:

Post a Comment